Wednesday, 4 June 2014

Musim Buah-buahan

                      

                        Ayah membunyikan hon sebaik sahaja kereta memasuki perkarangan rumah datuk.Kebetulan pintu pagar terbuka luas. Mungkin datuk sudah bersedia menunggu kami.Kira-kira tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Batu Kikir terubat apabila melihat datuk dan nenek tersenyum menyambut kami di muka pintu. Hati saya girang sekali kerana dapat berjumpa dengan datuk dan nenek.
                        Pada waktu ini ialah musim buah-buahan. Datuk membawa kami ke dusunnya. Di dusun datuk terdapat banyak pokok buah-buahan, iaitu durian, manggis, duku, rambutan dan mangga. Pokok-pokok berbuah lebat dan buah-buahan telah masak ranum.
                        Saya dan adik menolong datuk mengutip buah durian yang gugur di kawasan semak. Bapa pula mengait rambutan dengan galah yang panjang. Kami meletakkan buah-buahan itu di dalam raga.
                        Setelah penat, kami berehat di bawah pokok yang rendang. Datuk dan bapa mengopek buah durian untuk kami makan. Air liur kami meleleh apabila menghidu bau durian yang harum. Kami menjamah durian dengan sepuas-puasnya.Ibu dan nenek menyediakan makanan di sebuah pondok yang datuk bina di dalam dusun itu.
                        Pada waktu senja, kami pun pulang ke rumah. Datuk memberikan beberapa biji durian dan seikat rambutan kepada kami sebagai buah tangan. Saya berasa seronok kerana dapat menjejak kaki ke dusun datuk. Saya akan menziarahi datuk dan nenek lagi pada cuti sekolah yang akan datang. 

No comments:

Post a Comment