Sunday 8 July 2012

Aku Sebuah Basikal


Namaku Raleigh.Aku dilahirkan di sebuah kilang basikal di Butterwoth,Pulau Pinang .Badanku berwarna hitam dan putih metalik.Aku sesuai ditunggang oleh orang lelaki kerana ada palang di bahagian tengah badanku.
Pada suatu hari aku bersama rakan-rakan dinaikkan ke atas sebuah lori.Lori itu bergerak ke serata pelosok negara.Rakan-rakanku diturunkan di  beberapa tempat.Akhirnya tibalah giliran aku diturunkan.Aku diturunkan di sebuah kedai bernama Kedai Basikal Hock Kee Hing di sebuah pekan bernama Batu Kikir.
Aku dipamerkan di kedai basikal itu untuk beberapa lama sehinggalah pada suatu hari aku dibelek-belek oleh seorang budak remaja bersama ayahnya.Setelah berlaku tawar-menawar akhirnya aku dibeli dengan harga tiga ratus ringgit. Ayah budak itu membayar duit kepada penjual lalu membawa aku pulang ke rumahnya.
Tuan aku bernama Shuhud.Shuhud membawa aku ke sekolah dan bersiar-siar di sekitar Batu Kikir pada setiap hari.Aku dijaga dengan rapi.Hampir setiap hari Shuhud akan mencuci badanku walaupun  tidaklah berapa kotor.Kawan-kawan Shuhud memuji aku yang sentiasa kelihatan cantik dan berkilat. Aku berasa sangat bangga apabila dipuji begitu,lebih-lebih lagi apabila kadang-kadang aku memenangi  perlumbaan bersama rakan-rakannya. Mungkin badanku lebih ringan menyebabkan aku lebih laju berbanding basikal lain.
Setelah beberapa tahun berlalu, komponen-komponen besi di badanku mulai berkarat. Cat yang dulunya berkilat,kini mulai pudar.Tayarku juga kerap pancit. Shuhud juga sudah bersekolah di asrama penuh.Aku jarang-jarang digunakan.Aku sedar aku tidak secantik dulu lagi.Aku diletakkan di bangsal kereta ayah Shuhud. Di sinilah aku menghabiskan sisa-sisa hidupku sebagai sebuah basikal.
                                                                                                                                               

1 comment: